Wednesday, August 27, 2008

Kesilapan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.

Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.

2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.

Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.

Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.

3) Meludah di masjid

Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.



4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.

Ini adalah satu lagi dosa yang berlaku secara kerap di masjid tatkala Ramadhan ini. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di 'silent' kan deringannya.
Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).



5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.

Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian
sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid.
Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.

6) Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.
Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.
Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.
Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.
Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain


8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah

Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.

9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.

Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.


10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya

Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.
Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.


DIPETIK DARIPADA http://www.zaharuddin.net/


sebagai pedoman dan ilmu untuk kita.

No comments: